Konsulat China di Myanmar diserang peranti letupan

Konsulat China di Myanmar diserang peranti letupan

Letupan berlaku di tengah Mandalay pada 7 malam waktu tempatan, tetapi tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

China-consulate-Myanmar-AFP
The Irrawaddy melaporkan sebutir bom tangan dilempar ke pekarangan Konsulat China yang biasanya dikawal anggota keselamatan Myanmar. (Gambar AFP)
MANDALAY:
Konsulat China di bandar Mandalay, Myanmar diserang peranti letupan, menurut media tempatan pada Sabtu sambil menambah tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Letupan berlaku di luar pejabat konsulat di tengah Mandalay sekitar 7 malam Jumaat (waktu tempatan).

Menurut penganalisis, China ialah sekutu utama dan pembekal senjata kepada junta Myanmar, tetapi ia turut mengekalkan hubungan dengan kumpulan etnik yang memerangi tentera di negeri Shan, utara Myanmar.

Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi dan merampas kuasa pada 2021.

Seorang pegawai Myanmar di Mandalay mengesahkan kepada AFP, ada insiden berlaku di pekarangan pejabat Konsulat China di Mandalay lewat petang semalam.

Tiada kecederaan dilaporkan, katanya tanpa menjelaskan insiden apa.

The Irrawaddy melaporkan sebutir bom tangan dilempar ke pekarangan konsulat itu, yang biasanya dikawal anggota keselamatan Myanmar.

Konsulat itu diserang letupan tidak dikenal pasti, lapor The Voice of Myanmar tanpa memberikan butiran.

Kedutaan China di Yangon tidak menjawab pertanyaan AFP dan jurucakap junta tidak dapat dihubungi untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.