Bina semula Gaza ambil masa 80 tahun, kata PBB

Bina semula Gaza ambil masa 80 tahun, kata PBB

Pakar perumahan badan dunia itu, Balakrishnan Rajagopal berkata Utara Gaza menyaksikan kemusnahan hampir 100%.

Pakar PBB berkata selepas perang Gaza pada 2014, kurang seribu rumah dibina setiap tahun susulan sekatan bahan binaan dan peralatan. (Gambar AP)
AMMAN:
Pakar perumahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Balakrishnan Rajagopal menyatakan pembinaan semula Gaza mungkin mengambil masa 80 tahun jika pasukan pendudukan Israel meneruskan serangan mereka ke atas wilayah itu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut laman web rasmi PBB, Rajagopal, penyiasat bebas badan dunia itu yang memantau hak untuk perumahan yang mencukupi melaporkan bahawa menjelang Januari 2024, antara 60 hingga 70% rumah di Gaza telah musnah, dengan wilayah Utara menghadapi kadar kemusnahan yang lebih tinggi iaitu 82%.

Beliau menekankan bahawa keadaan bertambah buruk, terutamanya di Utara Gaza, di mana kemusnahan hampir mencecah 100%.

Laporan terkini daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menganggarkan menjelang Mei, lebih 39 juta tan serpihan terdapat di Gaza. Runtuhan itu bercampur dengan bahan letupan yang tidak meletup, sisa toksik, asbestos daripada bangunan yang runtuh, dan bahan-bahan lain.

Rajagopal memberi amaran bahawa pencemaran air bawah tanah dan tanah telah mencapai tahap yang kritikal, menimbulkan kebimbangan sama ada isu ini dapat ditangani tepat pada masanya.

Beliau menyatakan bahawa Gaza mengalami gelombang kemusnahan yang belum pernah terjadi sejak 7 Okt 2023.

Apabila ditanya mengenai garis masa untuk pembinaan semula Gaza, beliau menekankan keperluan membersihkan runtuhan terlebih dahulu, mendapatkan pembiayaan, dan yang paling penting pembinaan semula tidak boleh bermula sehingga serangan dihentikan.

Rajagopal menganggap Israel bertanggungjawab mengenakan sekatan ke atas bahan binaan dan peralatan, dengan mendakwa ia mempunyai kegunaan dua fungsi. Beliau juga menegaskan bahawa selepas perang Gaza pada 2014, kurang daripada seribu rumah dibina setiap tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.