
MSF dalam kenyataan di platform X memaklumkan, walaupun tentera Israel menuntut penduduk Palestin meninggalkan kawasan mereka di Jabalia, pada masa sama ia “melakukan serangan yang menghalang orang ramai keluar dengan selamat”, lapor Agensi Anadolu.
“Pemindahan paksa dari kediaman dan pengeboman kawasan perumahan oleh tentera Israel menjadikan utara Gaza kawasan runtuhan tidak boleh didiami,” menurut kenyataan itu.
Pertubuhan antarabangsa itu menyeru tentera Israel “menghentikan pemindahan paksa dan serangan menyeluruh terhadap penduduk di Gaza,” selain memastikan perlindungan orang awam dan hospital.
Selasa lalu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan tentera Israel memberi amaran kepada tiga hospital di utara Gaza untuk memindahkan kakitangan dan pesakit, dengan ancaman pembunuhan, kemusnahan dan penahanan sama seperti situasi di Hospital Al-Shifa beberapa bulan lalu.
Pengumuman itu menyusul operasi ketenteraan dilancarkan tentera Israel di Jabalia, utara Gaza atas alasan untuk menghalang Hamas mendapatkan semula kekuatan di kawasan itu.
Sejak memulakan serangannya ke atas Gaza pada Oktober 2023, Israel mengikut corak sama mengisytiharkan kawasan tertentu “zon selamat” dan menggesa penduduk Palestin berpindah ke sana, namun masih melakukan serangan di zon terbabit atau dalam perjalanan ke kawasan yang dijanjikan selamat.
Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Semenanjung Gaza, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menggesa gencatan senjata disegerakan.
Lebih 42,100 orang terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 98,100 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan Israel menyebabkan hampir semua penduduk Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan yang mengakibatkan kekurangan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Usaha perantaraan yang diketuai Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar untuk mencapai perjanjian gencatan senjata serta pertukaran tawanan antara Israel dan Hamas gagal susulan keengganan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menghentikan perang.