Unifil tak berganjak di Lubnan

Unifil tak berganjak di Lubnan

Pasukan pengaman PBB kekal dengan mandat Majlis Keselamatan demi penduduk selatan Lubnan.

UNIFIL-PIO
Setiausaha Agung Bahagian Operasi Keamanan PBB, Jean-Pierre Lacroix, berkata pasukan Unifil rasa tanggungjawab untuk meneruskan tugas.  (Gambar Facebook UNIFIL-PIO)
HAMILTON:
Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi operasi keamanan mengesahkan pasukan pengaman di Lubnan terus melaksanakan misinya.

“Pasukan pengaman Unifil (pasukan interim PBB di Lubnan) berasa bertanggungjawab untuk meneruskan tugas,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Jean-Pierre Lacroix, Setiausaha Agung Bahagian Operasi Keamanan PBB, kepada wartawan pada sidang media di ibu pejabat PBB, New York.

Sambil berkongsi terdapat 10,058 anggota pengaman di Lubnan, Lacroix berkata pasukan Unifil berasa bertanggungjawab terhadap mandat diberikan kepada mereka oleh Majlis Keselamatan. Namun, mereka juga berasa bertanggungjawab kepada penduduk di selatan Lubnan.”

Walaupun berdepan cabaran, misi pengaman itu meneruskan tugasnya dan mengesahkan bahawa “rancangan kontingensi sudah sedia dan sentiasa dikemas kini”, katanya.

“Jelas sekali, kami telah menyediakan beberapa senario sekiranya keadaan bertambah buruk, yang mungkin membawa kepada, diharapkan tidak, pemindahan sebahagian, atau keseluruhan pasukan,” kata Lacroix.

Apabila ditanya mengenai bagaimana Unifil berhasrat melindungi penduduk awam di Lubnan, Lacroix berkata, anggota pengaman akan melakukan segala yang termampu untuk melindungi penduduk, tanpa memberikan butiran lanjut.

Walaupun peperangan rentas sempadan antara Hizbullah dan Israel bermula selepas konflik Gaza Oktober lalu, Israel melancarkan serangan udara besar-besaran pada 23 Sept ke atas apa yang dikatakan sebagai sasaran Hizbullah di seluruh Lubnan.

Selain membunuh pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah dan beberapa komander lain, Israel membunuh lebih 1,100 serta menyebabkan puluhan ribu lagi kehilangan tempat tinggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.