Pelajar universiti Argentina protes kerajaan potong dana

Pelajar universiti Argentina protes kerajaan potong dana

Kerajaan mengancam akan memveto undang-undang pembiayaan yang diluluskan Kongres di tengah-tengah krisis inflasi 240%.

Penunjuk perasaan berarak ke Kongres untuk meminta penambahan dana bagi universiti awam di Buenos Aires. (Gambar AP/Rodrigo Abd)
BUENOS AIRES:
Ratusan ribu pelajar Argentina menyertai protes pada Rabu bagi membantah tindakan kerajaan pimpinan Presiden Javier Milei memotong peruntukan untuk universiti awam.

Protes itu diadakan selepas kerajaan mengancam memveto undang-undang diluluskan Kongres minggu lalu untuk menjamin pembiayaan universiti, ketika Argentina berdepan krisis ekonomi dengan inflasi tahunan hampir 240% dan lebih separuh daripada penduduknya dalam kemiskinan.

“Kerajaan mempunyai rancangan sistematik, berkaedah dan beransur-ansur untuk memusnahkan pendidikan awam,” kata Ricardo Gelpi, ketua Universiti Buenos Aires dalam kenyataan.

“Kerajaan Milei berulang kali mewajarkan pemotongan atas alasan universiti awam tapak indoktrinasi ‘sosialis’, tetapi institusi itu mempunyai reputasi kukuh dalam kalangan rakyat Argentina.”

Gelpi berkata, kerajaan Milei tidak mengambil berat terhadap pendidikan dan pemotongan itu sebahagian kecil daripada keluaran dalam negara kasar Argentina.

Ketua Persekutuan Universiti FUA Argentina, Piera Fernandez memberitahu orang ramai, pendidikan universiti awam sedang “memperjuangkan kelangsungannya” dan peruntukan untuk pendidikan serta sains adalah pelaburan, bukannya perbelanjaan.

April lalu, satu bantahan disertai ratusan ribu pelajar dan guru memaksa Milei mempertimbangkan semula pemotongan belanjawan universiti, tetapi pihak berkuasa universiti kemudian berkata, kerajaan tidak melaksanakan penambahbaikan yang dijanjikan.

Kementerian Modal Insan Argentina dalam kenyataan berkata, komitmen kerajaan terhadap universiti awam kekal “teguh” dan “dana pendidikan universiti awam tidak pernah ditolak”.

Menurut Universiti Buenos Aires, guru dan kakitangan bukan gurunya hilang kira-kira 40% kuasa membeli mereka sejak Disember lalu dan ia masih berlarutan.

“Jika undang-undang itu diveto, akibatnya sangat serius. Jadi, kita berharap ia tidak berlaku,” kata graduan UBA dan guru Florencia Rivero sambil menambah ia akan menjejaskan gaji, penyelidikan serta aktiviti asas lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.