48 harimau, singa mati di zoo Vietnam akibat H5N1

48 harimau, singa mati di zoo Vietnam akibat H5N1

Menurut laporan harimau di Taman Pelancongan Taman Mangga dan Zoo My Quynh mengalami keletihan serta kelemahan sebelum mati.

rimau
Hasil bedah siasat dijalankan pegawai veterinar dari Pejabat Kesihatan Haiwan wilayah ke atas bangkai dua harimau menunjukkan ia mati akibat radang paru-paru. (Gambar Bernama)
PHNOM PENH:
Pakar veterinar memberi amaran mengenai virus H5N1 atau selesema burung, selepas 44 ekor harimau, tiga singa dan seekor harimau bintang dilaporkan mati di dua zoo di Ho Chi Minh City bulan lepas.

Menurut laporan VN Express, harimau di Taman Pelancongan Taman Mangga, wilayah Dong Nai dan Zoo My Quynh di wilayah Long An mengalami keletihan serta kelemahan sebelum mati.

Kedua-dua zoo itu terletak di Ho Chi Minh City, selatan Vietnam.

“Pegawai veterinar dari Pejabat Kesihatan Haiwan Wilayah menjalankan pemeriksaan klinikal serta melakukan bedah siasat ke atas bangkai dua harimau. Diagnosis awal menunjukkan harimau itu mati akibat radang paru-paru,” menurut laporan akhbar dalam talian itu.

Sebanyak 17 ekor harimau, termasuk anak harimau dan seekor harimau bintang mati di Taman Mangga bulan lalu, manakala 27 ekor harimau dan tiga ekor singa mati di Zoo My Quynh antara Ogos hingga 16 Sept lalu, lapor VN Express.

Pegawai kesihatan sedang memantau dan berusaha mencegah kemungkinan penularan virus itu kepada manusia, selepas mendapati sekurang-kurangnya 30 individu berhubung dengan harimau terbabit. Semuanya dilaporkan dalam keadaan sihat.

Varian H5N1 atau selesema burung boleh mengancam burung berhijrah dan haiwan ternakan serta merebak kepada binatang dan manusia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.