Bas sekolah terbakar ragut 23 nyawa, pemandu akan didakwa

Bas sekolah terbakar ragut 23 nyawa, pemandu akan didakwa

Pemandu terbabit akan didakwa kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

Pemandu bas sekolah yang terbakar dan mengakibatkan kematian 23 nyawa serah diri kepada polis Thailand pada Selasa. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Polis Thailand akan mendakwa pemandu bas sekolah yang terbakar, mengakibatkan kematian 23 pelajar dan guru pada Selasa.

Pemangku Ketua Pesuruhjaya Polis Thailand, Kittharath Punpetch, berkata pemandu itu menyerah diri pada lewat petang Selasa dan sedang disoal siasat.

Pemandu itu akan didakwa di bawah kanun keseksaan kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

“Suspek mengaku bersalah dan penyiasat menahannya di Balai Polis Khu Khot,” kata Kittharath pada sidang akhbar.

“Penyiasat menemu bual saksi, mengumpul bukti dari tempat kejadian, dan meneliti rakaman CCTV.”

Beliau berkata bas itu dilengkapi 11 tong gas, tetapi hanya enam berdaftar.

“Siasatan forensik diperlukan. Mereka yang bertanggungjawab akan didakwa.”

Institut perubatan forensik hospital polis sedang bekerjasama dengan pejabat sains forensik polis untuk mengesahkan identiti mangsa.

Susulan kejadian, Kementerian Pendidikan Thailand mengarahkan penggantungan serta-merta semua lawatan lapangan sekolah.

Menteri Pendidikan Permpoon Chidchob berkata jika lawatan diperlukan, langkah keselamatan dan rancangan perjalanan yang ketat mesti dilaksanakan dan jabatan pengangkutan darat mesti memeriksa keadaan kenderaan sebelum perjalanan.

“Bermula sekarang, kenderaan yang digunakan untuk lawatan sekolah tidak boleh berusia lebih daripada lima tahun. Siasatan mendapati bas yang terlibat dalam kejadian ini adalah kenderaan lama, berusia beberapa dekad,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.