Amnesty gesa Slovenia, Montenegro halang kapal bawa bahan letupan ke Israel

Amnesty gesa Slovenia, Montenegro halang kapal bawa bahan letupan ke Israel

Amnesty International memberi amaran terdapat risiko jelas kargo itu akan menyumbang kepada pelanggaran jenayah perang terhadap orang awam Palestin.

MV Kathrin yang didaftarkan di Portugal, didakwa membawa bahan letupan ke Israel.
LONDON:
Amnesty International menggesa Slovenia dan Montenegro tidak membenarkan kapal MV Kathrin yang didakwa membawa bahan letupan ke Israel berlabuh.

Agensi Anadolu memetik kenyataan kerajaan Namibia dan menteri luar Portugal sebagai berkata, kapal itu sedang mengangkut lapan kontena bahan letupan RDX Hexogen untuk dihantar ke Israel.

Ogos lalu, pihak berkuasa Namibia menolak kemasukan kapal yang didaftarkan di Portugal itu ke pelabuhan utamanya atas alasan kebimbangan keselamatan dan sifat muatan kapal terbabit.

Kini, kapal itu dilaporkan dalam perjalanan ke pantai Montenegro dan pelabuhan Koper di Slovenia, yang dijangka memunggah bahan letupan berkenaan, lapor agensi itu.

Masih tidak jelas bagaimana muatan itu akan dipindahkan ke Israel dari sana, namun Amnesty International memberi amaran berhubung implikasi pemindahan berkenaan.

“Kargo berbahaya yang dipercayai dibawa MV Kathrin tidak sepatutnya sampai ke Israel kerana terdapat risiko jelas kargo ini akan menyumbang kepada pelanggaran jenayah perang terhadap orang awam Palestin,” lapor Anadolu yang memetik Natasa Posel, ketua Amnesty International Slovenia.

Di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, semua negara dilarang memindahkan senjata kepada pihak dalam konflik bersenjata dengan risiko jelas senjata itu akan digunakan untuk melakukan jenayah perang atau pelanggaran serius lain.

Amnesty International menegaskan, membenarkan transit bahan letupan ke Israel akan melanggar kewajipan itu.

Posel menekankan “mana-mana negara yang secara sedar memindahkan senjata kepada pihak terlibat dalam konflik ini, termasuk membenarkan transit kapal membawa senjata dan bahan letupan, berisiko melanggar Konvensyen Geneva dengan menggalakkan atau menyokong pelanggaran undang-undang berkenaan”.

Amnesty memuji Namibia kerana mematuhi kewajipan antarabangsa dengan menolak MV Kathrin berlabuh.

“Namibia dengan tepat mematuhi kewajipan antarabangsa dengan memastikan MV Kathrin tidak melalui pelabuhan mereka untuk memindahkan kargo ketenteraan ke Israel.

“Kini terpulang kepada Slovenia, Montenegro dan semua negara lain untuk melakukan perkara sama serta mengelakkan diri daripada memudahkan pemindahan yang menyalahi undang-undang,” kata Posel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.