90% misil kena sasaran ketenteraan Israel, kata Iran

90% misil kena sasaran ketenteraan Israel, kata Iran

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian turut memberi amaran akan mengambil tindakan lanjut, jika Israel melakukan sebarang serangan terhadapnya.

Misil melintasi ruang udara Baitulmuqaddis ketika siren amaran peluru berpandu dari Iran ke arah Israel dibunyikan pada Selasa. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan pusat strategik dalam wilayah diduduki disasarkan “dengan peluru berpandu dibuat anak-anak Iran”.

Ini pengumuman kedua IRGC selepas serangan misil ke atas rejim Zionis, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA) menurut Bernama.

Beberapa pangkalan tentera udara dan radar disasarkan dalam operasi itu.

IRGC menegaskan, walaupun kawasan itu dilindungi sistem pertahanan paling canggih dan berskala besar, 90% peluru berpandunya berjaya mengenai sasaran dan rejim Zionis takut dengan perisikan serta penguasaan operasi Republik Islam.

Menurutnya, pangkalan diserang itu adalah “pusat konspirasi dan perancangan pembunuhan Dr Ismail Haniyeh dan pemimpin Hizbullah di Lubnan, Sayyed Hassan Nasrallah serta komander tentera Hizbullah, kumpulan Palestin serta komander Pengawal Revolusi.”

Sebelum ini, Iran dilaporkan mula bertindak balas terhadap Israel dengan melancarkan peluru berpandu balistik ke kawasan Palestin yang diduduki rejim Zionis pada Selasa malam.

Sementara itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, berkata serangan peluru berpandu negaranya ke atas Israel berdasarkan hak sah terhadap pencerobohan rejim Zionis, selain mempertahankan kepentingan dan rakyat Iran.

“Biar (pemimpin Israel Benjamin) Netanyahu tahu Iran bukan sebuah negara suka berperang, tetapi ia berdiri teguh menentang sebarang ancaman. Ini hanya sedikit gambaran kuasa kami. Jangan sesekali mencetuskan konflik terhadap Iran,” katanya dalam catatan X.

Iran turut memberi amaran akan mengambil tindakan lanjut, jika Israel yang telah membunuh kira-kira 42,000 penduduk Gaza dan lebih 1,000 orang di Lubnan dalam tempoh hampir 12 bulan, melakukan sebarang serangan terhadap Iran.

“Respons Iran yang sah, rasional dan berhak terhadap tindakan pengganas rejim Zionis – membabitkan penyasaran warga dan kepentingan Iran serta melanggar kedaulatan negara Republik Islam Iran – dilaksanakan dengan sewajarnya,” menurut misi tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam kenyataan.

“Jika rejim Zionis berani bertindak balas atau melakukan tindakan jahat lanjut, tindak balas seterusnya yang menghancurkan akan menyusul. Negara serantau dan penyokong Zionis dinasihat menjauhkan diri daripada rejim itu.”

Israel dilaporkan berkata, Iran melancarkan kira-kira 180 peluru berpandu, tetapi mendakwa sebahagian besar dipintas sistem pertahanan udaranya, manakala negara Barat yang kebanyakannya ‘senyap’ dengan serangan Israel di rantau itu, segera mengecam serangan Iran ke atas sasaran ketenteraan Israel.

Amerika Syarikat menghantar lebih banyak tentera dan pesawat perang ke Timur Tengah untuk menyokong Israel.

“Sebagai tindak balas ke atas pemergian (ketua Hamas) Ismail Haniyeh, (pemimpin Hizbullah) Hassan Nasrallah, dan komander IRGC Abbas Nilforushan, kami menyasarkan pusat wilayah yang diduduki,” kata IRGC dalam satu kenyataan.

Haniyeh dibunuh oleh Israel di Tehran selepas pemimpin Palestin itu menghadiri upacara angkat sumpah Pezeshkian pada Julai.

Israel telah melakukan banyak pembunuhan di rantau itu selain daripada melakukan pengeboman berterusan di Palestin, Syria, Lubnan dan Yaman.

Dalam satu tindakan yang memburukkan keadaan minggu lepas, tentera Israel membunuh Nasrallah, Nilforushan, dan beberapa pemimpin Hizbullah yang lain, memusnahkan seluruh kawasan perumahan yang padat penduduk di selatan Beirut dengan dilaporkan menjatuhkan 85 bom Amerika, setiap satunya seberat 1,000 kilogram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.