
Ketua balai polis Yongsan Lee Im-jae adalah pegawai polis kanan pertama disabitkan bagi kejadian itu yang meragut 159 nyawa hampir dua tahun lalu.
Mahkamah Daerah Seoul Barat dalam kenyataan berkata, Lee gagal membuat persediaan untuk perhimpunan besar-besaran sempena Halloween, dan sepatutnya menjangka bahaya yang mungkin berlaku. Kegagalan itu menimbulkan keadaan yang mengakibatkan tragedi itu berlaku.
Kejadian di Itaewon itu mengejutkan Korea Selatan yang masih berduka atas nahas feri Sewol pada 2014 yang meragut nyawa 304 mangsa termasuk 250 murid sekolah.
Dua lagi bekas pegawai polis Yongsan masing-masing dipenjara dua tahun, dan hukuman penjara setahun yang ditangguhkan untuk dua tahun.
Mahkamah berkata, nahas Itaewon adalah “bencana ciptaan manusia” yang boleh dielak atau kesannya dikurangkan sekiranya tertuduh melaksanakan tugas mereka.
Sementara itu, Park Hee-young, ketua daerah Yongsan, dan tiga lagi pegawai daerah itu didapati tidak bersalah atas tuduhan gagal bertindak ketika kejadian. Menurut mahkamah, mereka tidak bertanggungjawab secara langsung untuk mengawal orang ramai.
Selepas kejadian itu, keluarga mangsa mendesak pegawai kanan dikenakan hukuman, termasuk Menteri Keselamatan Dalaman Lee Sang-min. Mahkamah perlembagaan menolak usul parlimen tahun lalu untuk mendakwa menteri berkenaan.