Gaza perlu penyelesaian 2 negara, bukan gencatan senjata, kata diplomat EU

Gaza perlu penyelesaian 2 negara, bukan gencatan senjata, kata diplomat EU

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell menyalahkan ketidakupayaan AS melaksanakan gencatan senjata di Gaza, walaupun memiliki pengaruh besar di rantau itu.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell menekankan keperluan mendesak untuk menyokong usaha segera ke arah penyelesaian dua negara, bukannya menunggu gencatan senjata yang mungkin tidak pernah berlaku di Gaza. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell menyalahkan ketidakupayaan masyarakat antarabangsa, khasnya Amerika Syarikat (AS) untuk memeterai perjanjian gencatan senjata di Gaza dengan Israel, walaupun memiliki pengaruh besar di rantau itu.

“Presiden (AS) (Joe) Biden mengumumkan beberapa minggu lalu beliau mempunyai rancangan, rancangan Israel, namun tiada persetujuan dicapai,” katanya menurut laporan Agensi Anadolu yang dipetik Bernama semasa berucap pada sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada Jumaat.

Beliau menekankan keperluan mendesak untuk menilai semula strategi perdamaian, dengan menyokong usaha segera ke arah penyelesaian dua negara, bukannya menunggu gencatan senjata yang mungkin tidak pernah berlaku.

“Jika anda mahu mencari penyelesaian dua negara, jangan tunggu gencatan senjata. Mulakan usaha dari sekarang,” tegas Borrell sambil menyatakan pendekatan “menghentikan perang dahulu dan memulakan keamanan kemudian” tidak berkesan berdasarkan realiti di lapangan.

Menurutnya, Gaza boleh menjadi huru-hara setanding Somalia yang dilanda ketidakamanan selama bertahun-tahun, manakala Tebing Barat berisiko menjadi Gaza kedua.

Sementara itu, Borrell turut memberi amaran nasib selatan Lubnan mungkin seperti Gaza akibat konfrontasi antara Israel dan Hizbullah yang disokong Iran.

“Mungkin selatan Lubnan juga sedang menjadi satu lagi Gaza, menjadi medan pertempuran konfrontasi antara Israel dan Iran.

“Kita akan memasuki kitaran tidak berkesudahan,” katanya sambil menekankan laluan semasa konflik boleh memperdalamkan ketidakstabilan di seluruh rantau itu.

Israel membedil Lubnan sejak Isnin lalu menyebabkan lebih 700 orang terkorban dan hampir 2,200 lagi cedera, menurut statistik Kementerian Kesihatan Lubnan.

Menurutnya, jumlah kematian di Lubnan sejak Oktober 2023 ialah 1,540 orang, manakala lebih 77,000 orang kehilangan tempat tinggal di selatan dan timur negara itu.

Hizbullah dan Israel terbabit konfrontasi sejak bermulanya serangan rejim Zionis ke atas Gaza pada 7 Okt 2023 yang meragut lebih 41,500 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.