Angka kematian Gaza hampiri 41,600, 52 lagi rakyat Palestin terkorban

Angka kematian Gaza hampiri 41,600, 52 lagi rakyat Palestin terkorban

Seramai 96,210 orang lagi cedera dalam serangan Israel sejak 7 Okt.

gaza
Israel meneruskan serangan di Semenanjung Gaza walaupun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengeluarkan resolusi bagi gencatan senjata segera. (Gambar AP)
ANKARA:
Sebanyak 52 lagi rakyat Palestin maut dalam serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan korban mencecah 41,586 orang sejak 7 Okt lalu, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah itu pada Sabtu.

Kenyataan kementerian itu turut menyatakan seramai 96,210 orang lagi cedera dalam serangan berkenaan, lapor Agensi Anadolu.

“Pasukan Israel membunuh 52 orang dan mencederakan 118 lagi dalam empat pembunuhan beramai-beramai terhadap keluarga dalam tempoh 48 jam lepas,” katanya.

“Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan kerana pasukan penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka,” katanya.

Israel meneruskan serangan kejamnya di Semenanjung Gaza walaupun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengeluarkan resolusi bagi gencatan senjata segera.

Sekatan berterusan di Gaza menyebabkan kekurangan bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang serius, selain serangan tentera Israel mengakibatkan kebanyakan kawasan itu tinggal dalam bentuk runtuhan.

Israel berdepan tuduhan melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang telah mengarahkan penghentian operasi ketenteraan di bandar selatan Rafah, di mana lebih sejuta rakyat Palestin telah mencari perlindungan sebelum kawasan itu diceroboh pada 6 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.