Banjir di Thailand, lebih 100 buaya ditakai demi keselamatan penduduk

Banjir di Thailand, lebih 100 buaya ditakai demi keselamatan penduduk

Pemilik Ladang Buaya Intern Lamphun di Ban San Khayom, daerah Mueang bimbang buaya akan terlepas jika seluruh tembok ladangnya runtuh.

buaya
Pemilik Ladang Buaya Intern Lamphun, Natthapark Kamkart mengakui ia keputusan sukar untuk menakai buaya yang dipeliharanya kira-kira 17 tahun. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Lebih 100 buaya dewasa dari Ladang Buaya Intern Lamphun di wilayah Lamphun, Thailand ditakai demi keselamatan penduduk berikutan banjir teruk melanda kawasan itu.

Media tempatan melaporkan banjir memusnahkan tanah pertanian dan ladang ternakan luas di pelbagai wilayah, khususnya di wilayah timur laut dan utara Thailand.

Menurut laporan Thai PBS World pada Selasa, pemilik Ladang Buaya Intern Lamphun di Ban San Khayom, daerah Mueang, Natthapark Kamkart berkata hujan lebat dan banjir sejak kebelakangan ini menyebabkan sebahagian dinding ladangnya runtuh.

Katanya, dia dengan berat hati membuat keputusan menakai lebih 100 buaya dewasa kerana bimbang ia terlepas dan membahayakan keselamatan penduduk.

“Hujan tahun ini begitu lebat dan saya terpaksa membuat keputusan segera,” katanya sambil mengakui ia keputusan sukar kerana buaya itu dipeliharanya kira-kira 17 tahun.

Susulan ramalan hujan berterusan, Natthapark bimbang seluruh tembok ladangnya runtuh dan buaya terlepas.

Kebiasaannya, beliau tidak akan menakai buaya dewasa kerana boleh menjejaskan operasi pembiakan untuk tahun mendatang.

Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana pada Khamis mengeluarkan amaran banjir dan tanah runtuh di 31 wilayah Thailand dalam tempoh 24 jam akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.