Mahkamah Argentina arah tangkap presiden Venezuela

Mahkamah Argentina arah tangkap presiden Venezuela

Terdahulu, Mahkamah Agung Venezuela memerintahkan penahanan Presiden Argentina, Javier Milei atas tuduhan pengubahan wang dan penahanan tanpa izin.

Arahan penahanan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro dan beberapa pegawai kanan kerajaannya dikeluarkan susulan pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan yang difailkan Forum Argentina untuk Pembelaan Demokrasi. (Gambar EPA Images)
RIO DE JANEIRO:
Mahkamah Argentina pada Isnin mengarahkan penahanan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro bersama beberapa pegawai kanan kerajaan lain, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Arahan ini dikeluarkan susulan pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan yang difailkan Forum Argentina untuk Pembelaan Demokrasi.

“Mahkamah Argentina mengarahkan penangkapan Nicolás Maduro, Diosdado Cabello dan beberapa pemimpin kanan kerajaan Venezuela atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan,” menurut kenyataan forum itu.

“Terdapat bukti jelas menunjukkan wujud rancangan sistematik di Venezuela untuk menindas orang awam melalui kehilangan paksa, penyeksaan, pembunuhan dan penganiayaan yang berlaku sekurang-kurangnya dari 2014 hingga sekarang,” menurut keputusan setebal 20 halaman oleh Mahkamah Persekutuan Buenos Aires.

Keputusan mahkamah itu dibuat berdasarkan “the principle of universal jurisdiction” yang terpakai untuk kes jenayah terhadap kemanusiaan.

Terdahulu, Mahkamah Agung Venezuela pada Isnin memerintahkan penahanan Presiden Argentina, Javier Milei, Menteri Keselamatan, Patricia Bullrich dan Karina Milei, adik perempuan presiden yang juga penasihatnya.

Mereka dituduh terbabit pengubahan wang haram dan penahanan tanpa izin.

Hubungan diplomatik Buenos Aires dan Caracas semakin tegang sejak pilihan raya presiden Venezuela pada 28 Julai lalu yang dicemari tuduhan penipuan undi.

Selepas pilihan raya penuh kontroversi itu, diplomat Argentina diusir dari Venezuela, sementara Argentina menyeru Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague mengeluarkan waran tangkap terhadap Maduro.

Suruhanjaya Pilihan Raya Venezuela mengisytiharkan Maduro, yang berkuasa sejak 2013, memenangi penggal ketiga.

Namun, tiada butiran lengkap keputusan undi dikeluarkan untuk menyokong kemenangan itu, sebaliknya pembangkang mendakwa calon mereka, Edmundo González memenangi pilihan raya itu, dengan sokongan kuat beberapa negara rantau itu serta Amerika Syarikat.

González meninggalkan Venezuela selepas menerima suaka politik dari Sepanyol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.