
Perkara itu dinyatakan Naib Wakil Tetap China ke PBB, Geng Shuang ketika berucap pada sesi terbuka Majlis Keselamatan mengenai isu Palestin-Israel pada Isnin.
Menurut Geng, pemberian bantuan oleh Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengikut mandat Perhimpunan Agung PBB (UNGA) adalah tonggak bantuan kemanusiaan di Gaza, dan kerja itu diteruskan walaupun pada masa paling berbahaya.
Setakat ini, 224 kakitangan agensi itu terkorban akibat serangan Israel.
“China menuntut Israel menjalankan penyiasatan terhadap semua kematian kakitangan kemanusiaan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pesalah terbabit,” tegas Geng.
Beliau berkata, pemvaksinan polio yang berjalan lancar di Gaza membuktikan tindakan kemanusiaan boleh dilakukan tanpa halangan, jika pihak terbabit menunjukkan azam politik.
Katanya, China menyeru Israel menghargai nyawa dan tindakan kemanusiaan, mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menarik balik sekatan serta membuka semula semua pintu masuk bagi kemasukan bantuan kemanusiaan.
“Israel didesak menghentikan serangan terhadap pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, menyediakan jaminan keselamatan dan kemudahan bagi pelaksanaan langkah kemanusiaan oleh pertubuhan antarabangsa.”