Banjir besar ragut 37 nyawa di Nigeria

Banjir besar ragut 37 nyawa di Nigeria

Pihak berkuasa menyifatkan banjir kali ini terburuk dalam beberapa dekad.

Keadaan di Maiduguri, Nigeria di mana sebahagian rumah ditenggelami air selepas dilanda banjir besar Selasa lalu. (Gambar AP)
LAGOS:
Sekurang-kurangnya 37 maut dan 400,000 lagi hilang tempat tinggal selepas banjir besar melanda bandar Maiduguri di timur laut Nigeria, lapor agensi berita Anadolu.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan, Zubaida Umar dalam mesyuarat penyelarasan kecemasan di Abuja berkata, pasukan mencari dan menyelamat menemui 37 mayat selepas banjir besar Selasa lalu.

Banjir yang melanda Maiduguri, ibu negeri Borno menyebabkan sekolah, hospital, pejabat kerajaan, zoo, rumah ibadat, bank dan kawasan komersial ditenggelami air.

Pihak berkuasa menyifatkan banjir kali ini terburuk dalam beberapa dekad.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Kecemasan Borno, Barkindo Saidu memberitahu Anadolu, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

“Kerajaan menubuhkan sembilan kem untuk mangsa hilang tempat tinggal, manakala makanan, selimut, pakaian, tikar dan wang disediakan sebagai tindak balas segera.”

Hampir separuh Maiduguri masih ditenggelami air, dua hari selepas banjir besar melanda bandar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.