
Seorang pegawai di Hospital Pengajaran dan Rujukan Moi di Eldoret mengesahkan bahawa Dickson Ndiema Mengich, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 30% kecederaan melecur, meninggal dunia pada petang Isnin.
“Ya, memang benar (dia meninggal dunia) petang tadi. Kami sedang menunggu keluarga untuk memberikan laporan yang lebih lengkap,” kata pegawai itu kepada Xinhua pada pagi Selasa.
Ndiema dituduh menyerang Cheptegei di rumahnya di Trans Nzoia County pada 1 Sept, dilaporkan berhubung pertikaian tanah yang belum selesai.
Pelari maraton itu baru pulang ke rumah dari gereja bersama dua anaknya apabila penyerang, yang bersembunyi berdekatan, menyiramnya dengan petrol dan membakarnya.
Usaha anak-anak dan adik perempuannya untuk memadamkan api dan menyelamatkan Cheptegei dihalang oleh penyerang, yang terus menuangkan petrol ke atas atlet itu.
Semasa serangan itu, Ndiema, yang dikatakan bekas kekasih Cheptegei, juga mengalami kesan melecur apabila cuba menyalakan api lebih marak menggunakan mancis.
Kedua-duanya dikejarkan ke hospital di Eldoret untuk rawatan, namun Cheptegei meninggal dunia akibat kecederaannya pada 4 Sept, setelah melecur 80%.
Cheptegei, atlet maraton wanita Uganda yang menyertai Sukan Olimpik Paris 2024, akan dikebumikan dengan penghormatan penuh ketenteraan di Uganda pada Sabtu.