Paetongtarn angkat sumpah PM Thailand

Paetongtarn angkat sumpah PM Thailand

35 Jemaah Menteri turut mengangkat sumpah taat setia di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn.

Paetongtarn Shinawatra secara rasmi menjadi perdana menteri termuda Thailand selepas beliau mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn. (Gambar AP)
BANGKOK:
Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dan 35 Jemaah Menterinya mengangkat sumpah pada Jumaat.

Paetongtarn mengetuai menteri dalam istiadat mengangkat sumpah taat setia di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn di Dewan Kediaman Amphorn Sathan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Sabeeda Thaised dan Songsak Thongsri yang disahkan positif Covid-19 semalam, turut hadir dalam majlis itu.

Paetongtarn, perdana menteri termuda di Thailand dijangka mengadakan mesyuarat khas Jemaah Menteri selepas sesi bergambar rasmi Jemaah Menteri baharu Thailand di Rumah Kerajaan pada Sabtu.

Dasar utama Jemaah Menteri Paetongtarn akan memberi tumpuan kepada menangani cabaran ekonomi, termasuk memperkenalkan skim dompet digital, meningkatkan kualiti hidup rakyat, mengawal selia harga produk pertanian dan memerangi dadah.

Parti Pheu Thai, yang mengetuai gabungan membentuk kerajaan akan memegang beberapa portfolio utama, termasuk pertahanan, pengangkutan, kewangan, ekonomi digital, pelancongan, perdagangan, kebudayaan, kesihatan awam, dan kementerian luar.

Sementara itu, Parti Bhumjaithai, parti kedua terbesar dalam gabungan itu akan menguruskan kementerian dalam negeri, buruh, pendidikan, dan pendidikan tinggi, sains, penyelidikan, serta inovasi.

Parti Bangsa Thai Bersatu (UTN) akan mengendalikan kementerian tenaga dan perindustrian, manakala rakan gabungan baharu, Parti Demokrat, akan menguruskan kementerian sumber asli dan alam sekitar.

Selain itu, Ketua Parti Chart Thai Pattana, Varawut Silpa-archa dilantik sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia, manakala Ketua Parti Prachachat, Pol Kol Thawee Sodsong menjadi menteri kehakiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.