Bekas datuk bandar buruan Filipina ditahan di Indonesia

Bekas datuk bandar buruan Filipina ditahan di Indonesia

Jabatan Kehakiman Manila berkata, Alice Guo yang ditahan sekitar tengah malam Selasa kini dalam tahanan polis Indonesia.

Alice_Guo_Philippines
Alice Guo yang juga warga China ditahan di Kota Tangerang, Jakarta semalam. (Gambar AFP)
MANILA:
Seorang bekas datuk bandar buruan di Filipina yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah China ditahan di Indonesia semalam, menurut Kementerian Kehakiman Manila dalam kenyataan hari ini.

Alice Guo, juga dikenali sebagai warga China Guo Hua Ping, dikehendaki Senat Filipina kerana enggan menghadiri siasatan kongres berhubung dakwaan hubungan jenayahnya. Dia menafikan tuduhan itu dengan menegaskan diri warga Filipina yang berdepan tuduhan berniat jahat.

Jabatan Kehakiman Manila berkata, perkembangan itu disahkan Jabatan Imigresen bahawa Guo kini dalam tahanan polis Indonesia di Jatanras Mabes Polri.

Guo ditahan sekitar tengah malam Selasa di Kota Tangerang, Jakarta, kata jabatan itu.

Bulan lalu, agensi penguatkuasaan undang-undang Filipina, termasuk Majlis Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLC) memfailkan pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Guo dan 35 individu lain.

AMLC mendakwa Guo dan rakan pengkomplotnya mengubah wang haram lebih 100 juta peso (USD1.8 juta) hasil aktiviti jenayah.

Peguam Stephen David yang mewakili Guo tidak menjawab permintaan untuk mengulas.

Guo yang dipecat daripada jawatan datuk bandar Bamban di wilayah Tarlac, melarikan diri Julai lalu dan ke Malaysia serta Singapura, sebelum ke Indonesia bulan lalu menggunakan pasport Filipinanya, kata agensi antijenayah Filipina.

Siasatan Senat bermula Mei lalu selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah kasino di Bamban pada Mac, dengan pegawai penguat kuasa undang-undang mendakwa ia penipuan daripada pembinaan kemudahan di atas tanah yang sebahagiannya dimiliki datuk bandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.