Korea Selatan kena kerah doktor tentera

Korea Selatan kena kerah doktor tentera

Doktor tentera dikerah berkhidmat di bilik kecemasan kesan mogok doktor muda.

Kerajaan Korea Selatan akan mengerahkan sekitar 250 doktor tentera dan doktor kesihatan awam untuk menangani perkhidmatan kecemasan. (Gambar Freepik)
SEOUL:
Kementerian Kesihatan Korea Selatan merancang mengerahkan doktor tentera ke bilik kecemasan hospital, berikutan kebimbangan gangguan perkhidmatan kecemasan semasa cuti Chuseok disebabkan mogok berpanjangan doktor muda.

Agensi Berita Yonhap melaporkan Naib Menteri Kesihatan Kedua Park Min-soo, memberitahu pemberita bahawa kerajaan akan mengerahkan kira-kira 250 doktor tentera dan doktor kesihatan awam untuk menangani perkhidmatan kecemasan sebelum dan selepas cuti yang berlangsung dari 14 hingga 18 Sept.

“Kami sedang memperkukuh kakitangan dengan menggunakan doktor tentera dan awam, selain melaksanakan pengambilan jururawat dan doktor kontrak,” kata Park.

Kementerian Kesihatan menyatakan bilangan doktor, termasuk pakar dan doktor muda, yang kini bekerja di bilik kecemasan adalah 73.4% daripada kapasiti biasa.

Menurut kementerian itu, daripada 409 bilik kecemasan di negara ini, 406 masih beroperasi 24 jam, walaupun 27 daripadanya telah mengurangkan bilangan katil.

Jumlah katil tersedia di institusi perubatan kecemasan setakat Jumaat lalu berjumlah 5,918 mewakili 97.5% daripada 6,069 katil yang direkodkan pada minggu pertama Februari, sebelum mogok doktor muda bermula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.