Angka korban kapal layar karam di Itali meningkat 6

Angka korban kapal layar karam di Itali meningkat 6

Pasukan penyelamat menemui lima mayat pada Rabu.

Mike Lynch
Kapal layar mewah ‘Bayesian’ terbalik pada pagi Isnin lalu akibat hujan lebat dan ribut di timur Palermo, selatan Itali. (Gambar AP)
ANKARA:
Angka kematian tragedi kapal layar karam di Itali meningkat kepada enam, selepas lima lagi mangsa ditemui pada Rabu, Agensi Anadolu memetik laporan media tempatan.

Robot pencarian bawah air pasukan pengawal pantai Itali dan penyelam dari Jabatan Bomba Itali menemui mayat usahawan teknologi yang juga pemilik kapal layar itu, Mike Lynch, 59, serta anak perempuannya berusia 18 tahun.

Terdahulu pada hari sama, pasukan penyelamat menemui tiga mayat.

Proses pengecaman dan bedah siasat akan dijalankan, manakala pencarian seorang lagi mangsa hilang diteruskan, menurut laporan media tempatan.

Kapal layar mewah sepanjang 56m dikenali sebagai “Bayesian” terbalik pada pagi Isnin lalu akibat hujan lebat dan ribut, kira-kira 20km (12.4 batu) di timur Palermo, selatan Itali.

Dalam kejadian itu, 15 mangsa diselamatkan, termasuk isteri Lynch, Angela Bacares, manakala enam dilaporkan hilang.

Antara yang terkorban adalah cef kapal layar, Recaldo Thomas. Mayatnya ditemui beberapa jam selepas kapal itu karam.

Rabu lalu, media tempatan melaporkan dua lagi mayat ditemui, namun identiti mereka belum disahkan.

Individu atas kapal layar itu berasal dari pelbagai negara, termasuk United Kingdom, New Zealand, Sri Lanka, Perancis, Ireland, Amerika Syarikat dan Kanada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.