Bekas setiausaha kem Nazi berusia 99 tahun kena 2 tahun penjara

Bekas setiausaha kem Nazi berusia 99 tahun kena 2 tahun penjara

Wanita dikenali sebagai Irmgard F dikenakan hukuman itu memandangkan ketika kesalahan berusia bawah 21 tahun.

Irmgard Furchner
Mahkamah Persekutuan Jerman kekal sabitan terhadap bekas setiausaha kem Nazi kerana subahat mengakibatkan lebih 10,000 dibunuh beramai-ramai. (Gambar AP)
LEIPZIG:
Mahkamah Persekutuan Jerman mengekalkan sabitan terhadap bekas setiausaha berusia 99 tahun di kem tahanan Stutthof kerana bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai lebih 10,000 orang, antara Jun 1943 hingga April 1945, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Mahkamah yang bersidang di Bandar Leipzig, timur Jerman, menolak rayuan terhadap keputusan dibuat Mahkamah Wilayah Itzehoe, di utara Hamburg, pada Disember 2022.

Mahkamah wilayah itu telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun yang ditangguhkan ke atas wanita terbabit atas kesalahan bersubahat membunuh dalam 10,505 kes dan cubaan membunuh dalam lima kes.

Wanita itu, yang dikenali sebagai Irmgard F di bawah undang-undang privasi Jerman, menerima hukuman juvenil kerana dia berusia di bawah 21 tahun pada masa jenayah itu dilakukan. Keputusan pada Selasa adalah muktamad.

Kes ini mungkin dianggap sebagai perbicaraan jenayah terakhir menangani pembunuhan beramai-ramai oleh Nazi.

Irmgard F bekerja sebagai jurutaip di pejabat komandan kem tahanan Nazi Stutthof berhampiran yang ketika itu dikenali sebagai Free City of Danzig – kini Gdańsk di Poland – ketika dia berusia antara 18 hingga 19 tahun.

Mahkamah wilayah itu memutuskan bahawa melalui kerjanya, wanita muda itu telah membantu pegawai kem terbabit dalam pembunuhan sistematik tahanan. Selain itu, aktiviti sokongan juga boleh dilihat secara sah sebagai bersubahat dalam pembunuhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.