China perketat kawalan sempadan, cegah kemasukan mpox

China perketat kawalan sempadan, cegah kemasukan mpox

Pelawat mengalami simptom demam, sakit kepala, sakit otot, atau ruam wajib lapor keadaan mereka.

Mpox merebak melalui sentuhan rapat serta melalui bahan tercemar seperti cadar, pakaian, dan jarum, menurut WHO. (Gambar AP)
ANKARA:
China memperketatkan kawalan sempadannya untuk mencegah virus mpox daripada memasuki negara itu, lapor media kerajaan.

Pentadbiran Am Kastam negara mengumumkan langkah pengawasan lebih ketat untuk individu dan barangan yang tiba dari kawasan terjejas mpox, menurut laporan CGTN yang dipetik Agensi Anadolu.

Semua pelawat mengalami simptom demam, sakit kepala, sakit otot, atau ruam diwajibkan melaporkan keadaan mereka semasa memasuki negara itu.

Langkah-langkah ini akan berkuat kuasa selama enam bulan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mpox menyebabkan ruam dan simptom seperti selesema.

Pada Rabu, WHO mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa.

Menurut pakar kesihatan, seseorang dijangkiti mpox akan mengalami simptom dalam tempoh dua hingga 19 hari selepas terdedah kepada virus itu.

Dahulunya dikenali sebagai cacar monyet, mpox boleh merebak melalui sentuhan rapat serta melalui bahan tercemar seperti cadar, pakaian, dan jarum, menurut WHO.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.