Lebih 700,000 terjejas di Afrika Barat, Tengah akibat perubahan iklim

Lebih 700,000 terjejas di Afrika Barat, Tengah akibat perubahan iklim

Chad negara paling teruk terjejas selepas lebih 245,000 menjadi mangsa banjir dalam beberapa minggu sahaja.

afrika banjir
Agensi PBB melaporkan banjir kesan perubahan iklim memusnah atau merosakkan lebih 60,000 rumah menyebabkan lebih 54,000 penduduk hilang tempat tinggal. (Gambar AFP)
KIGALI:
Lebih 700,000 orang di seluruh Afrika Barat dan Tengah terjejas akibat banjir teruk dicetuskan perubahan iklim setakat tahun ini, menurut laporan Agensi Anadolu yang memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA).

Banjir memusnah atau merosakkan lebih 60,000 rumah, menyebabkan lebih 54,000 wanita, kanak-kanak dan lelaki kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berpindah, menurut kenyataan OCHA.

Sekolah dan kemudahan perubatan juga terjejas dan akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan terhalang.

Dilaporkan bahawa sekurang-kurangnya 72 meninggal dunia akibat lemas dan hampir 700 yang lain cedera.

Negara yang terjejas termasuk Republik Afrika Tengah, Chad, Ivory Coast, Republik Demokratik Congo, Liberia, Niger, Nigeria, Mali, dan Togo.

Chad merupakan negara paling teruk terjejas, membabitkan lebih 245,000 orang akibat banjir dalam beberapa minggu sahaja.

“Setiap tahun, kami memberi amaran mengenai kesan perubahan iklim dan maknanya untuk kehidupan sebenar orang ramai – rumah mereka, keupayaan mereka untuk bertani dan makan, menghantar anak-anak ke sekolah, mengakses penjagaan kesihatan asas,” kata Charles Bernimolin, ketua Pejabat Penyelarasan Kemanusiaan PBB untuk Afrika Barat dan Tengah.

“Pelaburan yang bermakna dan strategik perlu dilakukan untuk memastikan komuniti bersedia dan kesan terburuk dapat dikurangkan lebih awal,” katanya.

Ramalan musim 2024 menjangkakan jumlah hujan melebihi purata dari Jun hingga Ogos dan dari Julai hingga September di kawasan yang terdedah kepada banjir di wilayah Sahel dan sebahagian Afrika Barat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.