2 termasuk kanak-kanak cedera ditikam di Leicester Square

2 termasuk kanak-kanak cedera ditikam di Leicester Square

Polis berkata seorang lelaki yang disyaki penyerang berjaya ditahan.

Polis menutup kawasan Leicester Square, London selepas seorang lelaki menikam seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita. (Gambar fail)
LONDON:
Seorang lelaki ditahan selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita berusia 34 tahun ditikam di Leicester Square, London, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Polis Metropolitan berkata kedua-dua mangsa dibawa ke hospital selepas serangan di kawasan tumpuan pelancong itu pada Isnin.

Tiada butiran lanjut mengenai tahap kecederaan mereka.

Penyerang berkenaan kini berada dalam tahanan dan dia dipercayai satu-satunya suspek.

Dataran dan kawasan sekitar Leicester Square yang menerima kira-kira 2.5 juta pelawat setiap minggu ini merupakan lokasi bagi kedai, teater, pawagam, dan restoran.

Kawasan kejadian jenayah itu telah ditutup dengan pita polis yang mengelilingi pintu berkembar kedai TWG Tea, yang terletak di sebelah kedai Lego dan di hadapan kedai M&Ms.

Dalam satu kenyataan, polis berkata: “Pegawai berada di lokasi kejadian tikaman di Leicester Square.”

“Seorang lelaki ditahan dan kini berada dalam tahanan. Kami percaya tiada suspek lain yang terlibat.

Dua mangsa, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita berusia 34 tahun, telah dibawa ke hospital dan kami sedang menunggu maklumat lanjut mengenai keadaan mereka, ” kata polis.

Seorang jurucakap Perkhidmatan Ambulans London berkata: “Kami menerima panggilan pada 11.36 pagi pada Isnin mengenai laporan kejadian tikaman di Leicester Square.”

“Kami menghantar pasukan ke tempat kejadian, termasuk satu kru ambulans, seorang paramedik dan seorang pegawai respons insiden. Kami juga menghantar anggota unit respons taktikal kami.

Kami merawat seorang kanak-kanak dan seorang dewasa di tempat kejadian dan membawa mereka ke hospital,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.