
Walaupun serangan artileri dan dron dilakukan di sekitar NPP di bawah kawalan Rusia sejak Mac 2022, Ukraine dan Rusia saling menyalahkan satu sama lain atas serangan itu.
Tuduhan terbaharu berlaku lewat Ahad lalu apabila Yevgeny Balitsky, gabenor Zaporizhzhia yang dilantik Rusia melaporkan kebakaran berlaku di sistem penyejukan NPP Zaporizhzhia disebabkan “serangan tentera Ukraine”.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam catatan X mendakwa tentera Rusia “memulakan” kebakaran di kawasan loji itu dan menuduh Moscow menggunakan loji berkenaan untuk “memeras ugut Ukraine, seluruh Eropah dan dunia”.
Dibina antara 1984 dan 1995 di wilayah barat daya Ukraine, NPP Zaporizhzhia mempunyai enam reaktor yang setiap satu berkapasiti 950 megawatt dan mampu membekalkan tenaga kepada kira-kira empat juta isi rumah.
NPP Zaporizhzhia sebelum ini memenuhi 20% keperluan tenaga Ukraine sebelum ditawan Rusia, selepas itu semua enam reaktor loji berkenaan beralih kepada keadaan “penutupan sejuk”.
“Tiada kesan terhadap keselamatan nuklear,” kata Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi dalam kenyataan yang turut memaklumkan misi sokongan dan bantuan IAEA di loji terbabit memohon akses segera ke menara penyejuk untuk menilai kerosakan.
Pegawai Rusia dan Ukraine berkata, kebakaran di sistem penyejukan NPP Zaporizhzhia berjaya dipadamkan dan tahap radiasi di kawasan itu adalah normal.