
Letupan kedengaran di tengah dan timur Kyiv pada malam Sabtu, kata wartawan AFP, manakala tentera Ukraine berkata dua misil Rusia menuju ke bandar itu.
Siren serangan udara kedengaran di Kyiv dan sekurang-kurangnya dua pancaran lampu dapat dilihat di langit, kata wartawan AFP.
Pentadbiran tentera Kyiv menerusi catatan di Telegram berkata, sistem pertahanan udara bandar itu diaktifkan. Tentera udara Ukraine berkata, lima wilayah lain diserang dron.
Serpihan misil jatuh atas bangunan kediaman di daerah Brovary bersebelahan Kyiv, kata Perkhidmatan Kecemasan Ukraine di Telegram.
Menurutnya, mayat seorang lelaki 35 tahun dan anak lelakinya berusia empat tahun ditemui di bawah runtuhan bangunan semasa operasi mencari dan menyelamat, manakala tiga lagi parah.
Timbul kebimbangan dalam kalangan rakyat Ukraine bahawa Moscow mungkin melancarkan serangan udara sebagai tindak balas terhadap serangan Kyiv di wilayah Rusia baru-baru ini.
Rusia kerap melancarkan serangan udara dan dron di Ukraine.
Kyiv berulang kali meminta sekutunya di Barat menyediakan lebih banyak sistem pertahanan udara.
Di pihak Rusia, Gabenor Wilayah Kursk, Alexei Smirnov berkata, 13 cedera di bandar Kursk, termasuk dua parah, apabila serpihan misil Ukraine jatuh atas sebuah bangunan pada waktu malam.