Perusuh dijangka dijatuhi hukuman menjelang akhir minggu ini, kata PM UK

Perusuh dijangka dijatuhi hukuman menjelang akhir minggu ini, kata PM UK

Langkah ini 'seharusnya memberi mesej yang sangat kuat kepada sesiapa yang terlibat', kata Keir Starmer.

Lebih 400 penunjuk perasaan ditahan berhubung protes terhadap serangan di Southport, UK, pada 29 Julai yang menyebabkan 3 kanak-kanak maut dan beberapa lagi cedera. (Gambar AP)
MOSCOW:
Perdana Menteri United Kingdom Keir Starmer menjangkakan mereka yang ditangkap kerana terlibat dalam rusuhan susulan serangan tikaman di bandar Southport akan dijatuhi hukuman menjelang akhir minggu ini, lapor Sputnik.

Lebih 400 penunjuk perasaan ditahan berhubung protes terhadap serangan di Southport pada 29 Julai yang menyebabkan tiga kanak-kanak maut dan beberapa lagi cedera.

Starmer berkata, beliau menjangkakan ‘hukuman substantif sebelum akhir minggu ini’, menurut laporan Sky News.

“Ia seharusnya memberi mesej yang sangat kuat kepada sesiapa yang terlibat, sama ada secara langsung atau dalam talian, bahawa anda mungkin akan dihadapkan dalam masa seminggu dan tiada sesiapa yang patut melibatkan diri dalam kekacauan ini,” kata Starmer dipetik oleh penyiar pada Selasa.

Penunjuk perasaan sayap kanan mengadakan protes menentang kebanjiran migran di seluruh negara selepas laporan yang tidak disahkan mendakwa penyerang di Southport merupakan seorang pelarian.

Penyerang kemudian dikenal pasti sebagai seorang remaja lelaki dari Wales berketurunan Rwanda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.