Pemenang Nobel Muhammad Yunus ketuai kerajaan peralihan Bangladesh

Pemenang Nobel Muhammad Yunus ketuai kerajaan peralihan Bangladesh

Ia susulan peletakan jawatan Sheikh Hasina sebagai perdana menteri pada Isnin.

Muhammad Yunus Nobel
Pemenang Hadiah Nobel tunggal Bangladesh, Muhammad Yunus, akan mengetuai kerajaan peralihan Bangladesh. (Gambar AFP)
DHAKA:
Pemenang Hadiah Nobel tunggal Bangladesh, Muhammad Yunus akan mengetuai kerajaan peralihan negara itu susulan peletakan jawatan bekas perdana menteri, Sheikh Hasina, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik kenyataan rasmi.

Keputusan yang disahkan setiausaha akhbar presiden Joynal Abedin dicapai dalam mesyuarat melibatkan Presiden Mohammad Shahabuddin, ketua angkatan tentera, dan pemimpin Gerakan Pelajar Antidiskriminasi Bangladesh.

Pada petang Selasa, 13 penyelaras gerakan itu melawat kediaman rasmi presiden untuk membincangkan situasi dan rangka kerja kerajaan sementara dengan Shahabuddin.

Kemudian, ketua angkatan tentera darat, laut, dan udara turut serta.

Keputusan membentuk kerajaan sementara dibuat selepas perbincangan antara Shahabuddin, penyelaras, dan pemimpin tentera.

Sheikh Hasina meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan melarikan diri ke negara jiran, India pada Isnin. Jemaah Menteri dibubarkan sejurus selepas itu.

Berikutan peletakan jawatan perdana menteri, ketua tentera Bangladesh Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan sebuah kerajaan peralihan akan dibentuk untuk mentadbir negara.

Pada Selasa, Shahabuddin turut membubarkan Parlimen negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.