
HANOI: Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara Myanmar (NDSC) memutuskan untuk melanjutkan tempoh darurat enam bulan lagi, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik laporan Myanmar Radio and Television (MRTV) yang dikendalikan kerajaan.
Dalam mesyuarat NDSC yang diadakan di Nay Pyi Taw pada Rabu, semua ahli yang hadir bersetuju melanjutkan tempoh darurat berkenaan. Tindakan ini dibuat mengikut Seksyen 425 Perlembagaan Negara.
Myanmar mengisytiharkan darurat selama satu tahun pada Februari 2021. Selepas itu, tempoh darurat dilanjutkan lima kali, masing-masing selama enam bulan sehingga 31 Julai lepas.
Mesyuarat NDSC turut membincangkan perkara-perkara berkaitan persiapan pilihan raya, kerja-kerja pembangunan semasa, persiapan untuk bancian penduduk dan perumahan negara, serta sektor pendidikan, kesihatan dan pertanian.