Bimbang diserang Israel, lapangan terbang Beirut batal penerbangan

Bimbang diserang Israel, lapangan terbang Beirut batal penerbangan

Laman sesawang lapangan terbang memaparkan semua penerbangan dari Beirut ke pelbagai destinasi di seluruh dunia dan sebaliknya 'dibatalkan' atau 'ditangguhkan'.

Beirut-Rafic Hariri International Airport
Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut-Rafic Hariri satu-satunya lapangan terbang di Lubnan. (Gambar Wikimedia Commons)
ISTANBUL:
Semua pelepasan dan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut-Rafic Hariri ditangguh atau dibatalkan susulan kemungkinan serangan Israel ke atas Lubnan.

Agensi Anadolu melaporkan semua penerbangan dari petang Ahad dan seterusnya digantung, memetik paparan maklumat pelepasan dan ketibaan di lapangan terbang itu pada Ahad.

Maklumat penerbangan di laman sesawang lapangan terbang memaparkan semua penerbangan dari Beirut ke pelbagai destinasi di seluruh dunia dan sebaliknya “dibatalkan” atau “ditangguhkan”.

Pembatalan dan penangguhan dijangka berterusan hingga pagi Isnin.

Middle East Airlines (MEA) sebelum ini mengumumkan beberapa penerbangan dijadualkan berlepas dari Beirut akan ditangguhkan sehingga pagi Isnin.

MEA adalah syarikat penerbangan nasional Lubnan yang mengendalikan penerbangan ke pelbagai destinasi di Asia Barat, Eropah, Afrika dan rantau lain.

Terdahulu, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya tidak ke Lubnan susulan kemungkinan gangguan terhadap perkhidmatan udara akibat ketegangan serantau semakin meningkat.

Ketegangan semakin memuncak selepas tentera Israel pada Ahad membentangkan senario kepada kerajaannya mengenai kemungkinan serangan ke atas kumpulan Hezbollah berikutan serangan roket membunuh 12 orang di Bukit Golan yang diduduki Israel, menurut laporan media antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.