Kereta api penumpang Laos-Thailand mula operasi

Kereta api penumpang Laos-Thailand mula operasi

Keseluruhan perjalanan antara Bangkok ke Vientiane itu memakan masa 12 jam.

Perkhidmatan kereta api penumpang antara Laos dan Thailand dijangka dapat menggalakkan pembangunan perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara kedua-dua negara. (Gambar Krung Thep Aphiwat)
VIENTIANE:
Perkhidmatan kereta api penumpang rentas sempadan Laos-Thailand mula beroperasi secara rasmi, menghubungkan antara stesen Krung Thep Aphiwat Central di ibu negara Thailand, Bangkok, dengan stesen kereta api Khamsavath di ibu negara Laos, Vientiane.

Majlis perasmian yang diadakan di Vientiane pada Sabtu dihadiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Laos Saysongkham Manodham, Timbalan Menteri Pengangkutan Thailand Surapong Piyachote serta wakil kedua-dua negara.

Kereta api pertama berlepas pada Jumaat dari stesen Krung Thep Aphiwat Central dan tiba di stesen kereta api Khamsavath pada Sabtu dengan keseluruhan perjalanan mengambil masa kira-kira 12 jam.

Berucap pada majlis perasmian, Timbalan Pengarah Jabatan Kereta Api bawah Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan Laos Hinphet Lakhonevong berkata, pembukaan perkhidmatan kereta api penumpang rentas sempadan Laos-Thailand akan memberikan lebih banyak kemudahan untuk rakyat kedua-dua negara melakukan perjalanan.

Menurutnya, perkhidmatan itu turut menggalakkan pembangunan perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara kedua-dua pihak serta meningkatkan lagi hubungan antara Laos, Thailand dan negara subkawasan Sungai Mekong Besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.