Rungkas penempatan haram Israel, bayar pampasan, kata presiden Maldives

Rungkas penempatan haram Israel, bayar pampasan, kata presiden Maldives

ICJ sebelum ini mendapati kehadiran haram Israel di wilayah Palestin sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Presiden Maldives Mohamed Muizzu mahu Israel henti dasar penempatan haram dan membayar ganti rugi kepada Palestin. (Gambar AFP)
NEW DELHI:
Presiden Maldives Mohamed Muizzu menggesa Israel merungkas penempatan haramnya dan membayar pampasan kepada rakyat Palestin atas tindakannya selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyatakan pendudukan Israel di wilayah Palestin sejak 1967 sebagai haram.

Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat dalam pendapat nasihatnya, sebagai tindak balas kepada permintaan Perhimpunan Agung PBB, menyatakan penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur serta rejim dikaitkan dengannya melanggar undang-undang antarabangsa.

“Dengan mengiktiraf kehadiran haram Israel yang berterusan di wilayah Palestin yang diduduki sebagai satu pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Mahkamah mengesahkan aspirasi rakyat Palestin yang terkandung dalam perjuangan mereka yang sah untuk penubuhan negara dan penentuan nasib sendiri,” kata Muizzu dalam reaksinya.

“Saya menggesa Israel untuk segera menghentikan dasar penempatan haramnya dan membayar ganti rugi atas kerosakan yang disebabkan oleh tindakan eksploitatif dan diskriminasinya,” katanya.

ICJ meneliti pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel secara meluas, termasuk perampasan tanah Palestin secara besar-besaran, eksploitasi sumber asli, pengusiran paksa, pemusnahan rumah, sekatan ke atas kediaman, dan pergerakan penduduk Palestin serta keganasan oleh peneroka haram dan tentera bersenjata.

Mahkamah berkata, Israel ‘mempunyai kewajipan untuk membayar ganti rugi atas kerosakan yang dilakukan kepada semua individu atau entiti yang terlibat” di wilayah Palestin yang diduduki’.

Ia juga menyatakan bahawa semua negara mempunyai kewajipan untuk tidak membantu Israel dalam mengekalkan keadaan yang dicetus oleh kehadiran berterusannya di tanah diduduki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.