Protes ragut 100 nyawa, Bangladesh kenakan perintah berkurung

Protes ragut 100 nyawa, Bangladesh kenakan perintah berkurung

Tentera akan dikerah di ibu kota Dhaka dan daerah-daerah lain, menurut kerajaan.

Bangladesh student protest
Lebih 100 orang terkorban dalam protes pelajar di Bangladesh sejak keganasan tercetus pada Selasa. (Gambar AP)
DHAKA:
Kerajaan Bangladesh mengenakan perintah berkurung seluruh negara dan mengerahkan tentera susulan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis semasa protes pelajar, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menteri Dalam Negeri Asaduzzaman Khan mengumumkan, tentera akan dikerahkan di ibu kota Dhaka dan daerah-daerah lain.

Lebih 100 orang terkorban dalam protes itu sejak keganasan tercetus pada Selasa. Sekurang-kurangnya 56 kematian dilaporkan pada Jumaat, menurut BBC memetik akhbar Prothom Alo dan The Daily Star.

Angka korban belum disahkan secara rasmi, namun Kedutaan Amerika Syarikat di Bangladesh pada Jumaat melaporkan ‘ratusan hingga mungkin ribuan cedera’.

Berita dari saluran ini dan media tempatan lain tidak dapat diakses dalam talian pada Sabtu, selepas kerajaan memotong sebahagian besar sambungan Internet, telefon dan SMS.

Di Dhaka, semua perhimpunan dilarang pada Jumaat sehingga diberitahu kelak, lapor Prothom Alo memetik polis.

Bagaimanapun, beberapa protes tetap berlaku. Polis menggunakan bom tangan penggegar, gas pemedih mata dan peluru getah. Penunjuk perasaan membakar kenderaan, kedai dan pejabat, menurut seorang wartawan dpa di lokasi kejadian.

Pada tengah malam Jumaat, wakil pelajar dilaporkan bertemu dengan wakil kerajaan, namun tiada maklumat mengenai hasil pertemuan itu diketahui, lapor BBC.

Pada Sabtu, anggota tentera dilihat berada di jalan-jalan raya. Laman web kerajaan Bangladesh, yang mungkin digodam, memaparkan mesej: ‘Berhenti Bunuh Pelajar’ dan ‘Ini bukan lagi protes, ini perang’.

Demonstrasi yang berlangsung sejak awal Julai itu dikatakan berkisar kemungkinan pengenalan semula sistem kuota lama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.