40 migran maut, bot terbakar di perairan Haiti

40 migran maut, bot terbakar di perairan Haiti

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi berkata, 41 mangsa diselamatkan pengawal pantai Haiti, dengan 11 daripadanya dibawa ke hospital untuk rawatan.

haiti
Keganasan melampau sejak beberapa bulan lepas membuatkan rakyat Haiti mengambil lebih banyak langkah terdesak, termasuk melarikan diri dari negara itu. (Gambar AP)
HAVANA:
Sekurang-kurangnya 40 maut selepas sebuah bot membawa migran terbakar di perairan Haiti, kata Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bot membawa lebih 80 orang itu terbakar semasa pelayaran sejauh 250km antara Fort Saint-Michel di utara Haiti ke Kepulauan Turks dan Caicos.

IOM berkata, 41 mangsa diselamatkan pengawal pantai Haiti, dengan 11 daripadanya dibawa ke hospital untuk rawatan, termasuk kesan terbakar.

“Peristiwa menyayat hati ini menekankan risiko dihadapi kanak-kanak, wanita dan lelaki berhijrah melalui laluan tidak rasmi, menunjukkan keperluan mendesak untuk laluan migrasi yang selamat dan sah,” kata Ketua Misi IOM di Haiti, Grégoire Goodstein.

“Sosioekonomi Haiti dalam keadaan teruk. Keganasan melampau sejak beberapa bulan lepas hanya membuatkan rakyat Haiti mengambil lebih banyak langkah terdesak.”

Haiti menderita bertahun-tahun akibat keganasan kumpulan bersenjata yang menguasai sebahagian besar ibu negara Haiti, Port-au-Prince.

Kira-kira separuh daripada 11 juta penduduk Haiti mengalami kelaparan akut. Lebih setengah juta pula kehilangan tempat tinggal di negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.