
Lelaki berusia 33 tahun itu ditangkap pada petang Ahad ketika menonton perlawanan akhir Kejohanan Eropah di sebuah pub, kata penyiasat.
Suspek dilaporkan mengaku membunuh 42 wanita sebelum mengerat mayat mangsa dan memasukkannya ke dalam beg plastik dan membuangnya ke dalam bekas kuari di sebuah kawasan kejiranan di Nairobi.
“Kita berdepan dengan seorang psikopat, pembunuh bersiri yang tidak menghormati nyawa manusia,” kata ketua Jabatan Siasatan Jenayah Mohamed Amin.
Siasatan bermula pada Jumaat lepas selepas bahagian tubuh manusia ditemukan di tempat pembuangan sampah.
Menjelang Ahad, polis menemukan mayat sembilan wanita, berusia dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun.
Lelaki itu mendakwa, mangsa pertamanya ialah isterinya sendiri, kata Amin. Dia dikatakan mencekik dan mengerat isterinya kemudian melakukan perkara sama kepada wanita lain.
Penyiasat menjejaki suspek, yang dilaporkan tinggal hanya 100m dari tempat pembuangan sampah itu, melalui telefon bimbit mangsa terakhirnya.
Selain sebilah parang dan beg plastik, barang peribadi mangsa turut ditemukan di rumahnya.
Ketika ditahan, lelaki itu dilaporkan sudah mencari mangsa seterusnya.