Trump seru AS bersatu selepas cubaan bunuh

Trump seru AS bersatu selepas cubaan bunuh

Donald Trump seru rakyat AS bersatu dan menunjukkan perwatakan sejati.

Donald Trump ditembak di telinga dalam insiden di utara Pittsburgh, pada Sabtu. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad menyeru rakyat AS untuk “bersatu padu” selepas terselamat daripada cubaan bunuh semasa perhimpunan kempen di Pennsylvania, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Trump, 78, yang bertanding untuk menyingkirkan penggantinya Presiden Joe Biden dalam pilihan raya November, ditembak di telinga dalam insiden di Butler, utara Pittsburgh, pada Sabtu.

Seorang penonton terbunuh dan dua lagi cedera parah, manakala penembak – yang dinamakan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sebagai Thomas Matthew Crooks, 20 – dibunuh oleh ejen Perkhidmatan Rahsia AS.

Dalam catatan di media sosial, Truth Social, pada Ahad, Trump berkata “hanya Tuhan sahaja yang menghalang perkara yang tidak diingini daripada berlaku.”

Trump memberikan penghormatan kepada mangsa tembakan itu. “Kasih sayang kami kepada mangsa dan keluarga mereka. Kami berdoa untuk pemulihan mereka yang cedera dan ingatan kami kepada warga yang dibunuh dengan begitu dahsyat,” katanya.

“Adalah lebih penting daripada sebelumnya, kita bersatu dan menunjukkan perwatakan sejati kita sebagai rakyat Amerika, tetap kuat dan bertekad, dan tidak membenarkan kejahatan menang.”

Dengan Konvensyen Nasional Republikan yang dijadual bermula di Milwaukee, Wisconsin, pada Isnin, Trump berkata beliau teruja untuk berucap semasa menerima pencalonan rasmi parti itu untuk pilihan raya presiden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.