Suspek tembak Trump terbunuh

Suspek tembak Trump terbunuh

Perkhidmatan Rahsia AS dilapor 'menghentikan ancaman' tersebut dan penembak telah meninggal dunia.

Donald Trump
Perkhidmatan Rahsia bertindak balas dengan cepat melindungi bekas presiden AS Donald Trump dalam kejadian tembakan ketika perhimpunan kempennya di Butler, Pennsylvania, pada Sabtu. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Suspek yang melepaskan beberapa das tembakan mencederakan bekas presiden Amerika Syarikat Donald Trump semasa perhimpunan kempennya di Butler, Pennsylvania, pada Sabtu telah ditembak mati.

“Anggota Perkhidmatan Rahsia AS telah ‘menghentikan ancaman’ penembak berkenaan yang kini telah meninggal dunia,” kata Ketua Komunikasi Perkhidmatan Rahsia Anthony Guglielmi di X.

Beliau memaklumkan, dalam kejadian itu, seorang penonton terbunuh, manakala dua lagi cedera parah.

Menurutnya, penembak itu melepaskan tembakan ke arah pentas daripada kedudukan tinggi di luar lokasi perhimpunan.

Kejadian itu sedang disiasat dan Perkhidmatan Rahsia telah memaklumkan secara rasmi kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Guglielmi berkata, Perkhidmatan Rahsia telah bertindak balas dengan cepat dengan langkah perlindungan. Bekas presiden itu selamat dan keadaannya sedang dinilai, tambahnya.

Agensi Anadolu melaporkan Trump kelihatan cedera dan dilihat berlumuran darah pada telinga kanannya ketika beliau dipindahkan dari pentas, menurut rakaman media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.