PM Sepanyol kecam ‘dwistandard’ ke atas Gaza di Sidang Kemuncak Nato

PM Sepanyol kecam ‘dwistandard’ ke atas Gaza di Sidang Kemuncak Nato

Pedro Sanchez berkata, Nato perlu menyokong Gaza dengan cara sama ia menyokong Ukraine.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berucap setibanya di Sidang Kemuncak Nato di Washington. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menggesa negara Barat menolak sikap “dwistandard” berhubung konflik di Gaza ketika beliau menyertai pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menyokong Ukraine.

Sepanyol di bawah pimpinan Sanchez mencetuskan kemarahan rejim Zionis kerana mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan mengkritik tindakan Israel berperang terhadap Hamas.

“Jika kami mahu beritahu rakyat bahawa kami menyokong Ukraine kerana mempertahankan undang-undang antarabangsa, ini sama dengan apa yang perlu kami lakukan terhadap Gaza,” katanya pada Sidang Kemuncak Nato sempena ulang tahun ke-75 organisasi itu di Washington.

Pemimpin sosialis itu berkata, perlu ada “pendirian politik konsisten” dengan tidak mengamalkan “sikap dwistandard”.

Sanchez berkata, dunia perlu mendesak “krisis kemanusiaan dahsyat” yang menjejaskan rakyat Palestin ini dihentikan dan menggesa persidangan damai antarabangsa diadakan bagi mendesak pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara.

“Kita perlu menetapkan syarat untuk gencatan senjata serta-merta. Wujud risiko sebenar perluasan ke Lubnan”.

Sanchez berkata, beliau turut menyokong “demokrasi, kebebasan dan hak untuk wujud sebagai sebuah negara seperti Ukraine”.

Pemimpin Nato dalam sidang kemuncak itu mengeluarkan deklarasi menyatakan Kyiv dalam laluan “tidak berbalik” untuk menyertai pakatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.