2.3 juta di Assam terjejas banjir

2.3 juta di Assam terjejas banjir

Puluhan orang serta lebih 100 haiwan di Taman Negara Kaziranga di Assam terkorban dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Seorang lelaki dan anaknya di rumah mereka yang tenggelam di daerah Morigaon, Assam, India. Kira-kira 2.3 juta orang di 28 daripada 35 daerah di negeri timur laut India itu terjejas teruk akibat banjir monsun. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Negeri Assam di India dilanda banjir teruk dengan puluhan ribu penduduk terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Kira-kira 2.3 juta orang di 28 daripada 35 daerah di negeri itu terjejas teruk, dengan puluhan orang serta lebih 100 haiwan di Taman Negara Kaziranga terkorban dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Kira-kira 53,000 orang ditempatkan di 269 kem bantuan di seluruh negeri di timur laut itu kerana sungai-sungai, termasuk Sungai Brahmaputra yang mengalir 1,280 km di negeri Assam, melimpah pada musim monsun.

Selain itu, hujan lebat mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh di negeri Arunachal Pradesh, yang bersempadan dengan China.

Banjir, tanah runtuh dan kerosakan pada jalan raya serta jambatan dilaporkan di banyak tempat, termasuk negeri-negeri utara Uttarakhand dan Himachal Pradesh.

Kehidupan harian penduduk di hab kewangan negara itu, Mumbai, turut terjejas apabila hujan lebih 300mm turun di beberapa tempat dalam tempoh enam jam sehingga 7 pagi Isnin, kata pihak berkuasa tempatan.

Ini menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dan perkhidmatan kereta api pinggir bandar terjejas.

Beberapa sekolah dan kolej juga ditutup manakala Universiti Mumbai membatalkan peperiksaan yang dijadualkan pada Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.