
Keputusan itu dibuat ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap kebebasan bersuara di Kemboja di bawah Perdana Menteri, Hun Manet yang mengambil alih kuasa tahun lalu selepas pemerintahan bapanya, Hun Sen selama berpuluh tahun.
Lima defendan kumpulan itu, yang menyifatkan kes itu bermotifkan politik, ditahan di luar mahkamah di Phnom Penh sejurus keputusan diumumkan, ketika penyokong berbaju putih memegang sepanduk “Keadilan sudah mati”.
Peguam kumpulan itu, Sam Chomreun mengesahkan hukuman terhadap 10 aktivis terbabit.
“Rejim ini bukan saja terpisah daripada realiti, ia turut menunjukkan betapa tidak berperikemanusiaan dan kejamnya mereka terhadap individu berani mempertahankan perkara betul,” kata pengasas kumpulan itu, Alejandro Gonzales-Davidson berhubung keputusan mahkamah.
“Tetapi, ini tidak akan sia-sia. Kini, generasi baharu aktivis sudah lahir.”
Gonzales-Davidson memberitahu Reuters, beliau antara tiga aktivis didapati bersalah melanggar undang-undang lese majeste Kemboja dan dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun.
Tujuh aktivis dijatuhkan hukuman penjara enam tahun kerana berkomplot menentang kerajaan, kata Gonzales-Davidson yang dijatuhkan hukuman tanpa hadir di mahkamah selepas diusir dari Kemboja hampir sedekad lalu.
Jurucakap mahkamah dan kerajaan tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan komen.
Kerajaan sebelum ini menafikan perbicaraan itu bermotifkan politik dengan berkata ia bukannya mendakwa pengkritik, sebaliknya hanya mengambil tindakan terhadap individu melakukan jenayah.
Mother Nature sekian lama berkempen menentang kemusnahan alam sekitar di Kemboja, menekankan penebangan hutan, perlombongan pasir haram dan rasuah dalam projek pembangunan.
Tuduhan berkomplot terhadap kerajaan belum dijelaskan di mahkamah, kata Gonzales-Davidson, tetapi tiga aktivis ditahan selepas mendokumentasikan aliran pencemaran disyaki ke Sungai Tonle Sap di Phnom Penh pada 2021.
Tuduhan lese majeste berkaitan mesyuarat dalaman Zoom mengenai kartun politik dibocorkan.
Human Rights Watch berpangkalan di New York menerusi kenyataan sebelum keputusan itu diumumkan memberi amaran Hun Manet, seperti bapanya, kelihatan berniat menyekat kritikan terhadap kerajaan.
Di bawah pentadbiran Hun Sen, pembangkang dibubarkan, media bebas ditutup dan berpuluh-puluh aktivis dipenjarakan.