Lelaki didakwa bakar al-Quran maut diserang di Pakistan

Lelaki didakwa bakar al-Quran maut diserang di Pakistan

Orang ramai menarik lelaki itu keluar dari balai polis, tempat dia ditahan untuk perlindungannya.

quran
Tindakan menghina agama Islam adalah subjek sangat sensitif di Pakistan yang majoriti penduduknya beragama Islam, di mana tuduhan tanpa bukti boleh mencetuskan kemarahan orang ramai dan keganasan. (Gambar AP)
PESHAWAR:
Seorang warga Pakistan didakwa membakar al-Quran mati diserang sekumpulan individu yang menariknya keluar dari balai polis pada Khamis.

“Pada petang 20 Jun, penduduk tempatan di kawasan Madian menahan seorang lelaki, mendakwanya membakar al-Quran. Polis menyelamatkannya dan membawanya ke balai polis,” kata sumber polis di Swat kepada AFP, sambil memaklumkan lelaki itu bukan dari kawasan berkenaan.

Tetapi, orang ramai berkumpul di balai polis itu dan membalingnya dengan batu.

Sumber berkata, polis melepaskan tembakan amaran ke udara bagi menyuraikan kumpulan yang berang itu, tetapi mereka bertindak mengheret lelaki terbabit keluar dari balai polis dan memukulnya dengan kayu hingga mati.

Menurutnya, beberapa individu kemudian menuang minyak ke atas badannya dan membakarnya.

Seorang pegawai tempatan mengesahkan kejadian itu dan berkata: “Selepas membunuh lelaki itu, penunjuk perasaan yang berang mula melontar batu ke arah polis yang memaksa mereka meninggalkan balai terbabit.”

Katanya, keadaan di kawasan itu kekal tegang, dengan penunjuk perasaan menghalang jalan utama.

Tindakan menghina agama Islam adalah subjek sangat sensitif di Pakistan yang majoriti penduduknya beragama Islam, di mana tuduhan tanpa bukti boleh mencetuskan kemarahan orang ramai dan keganasan.

Akhir bulan lalu, seorang penganut Kristian yang dituduh membakar al-Quran digantung sekumpulan individu di wilayah Punjab, timur Pakistan.

Polis berkata, lelaki itu maut akibat kecederaan dialaminya pada awal bulan ini.

Pada Februari 2023, seorang umat Islam dituduh mencemarkan kitab suci itu dipukul hingga mati oleh orang ramai di wilayah Punjab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.