Nvidia atasi Microsoft jadi syarikat paling bernilai di AS

Nvidia atasi Microsoft jadi syarikat paling bernilai di AS

Pengeluar cip itu kini mempunyai nilai pasaran kepada USD3.3 trilion.

Permintaan tinggi terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) lonjak kedudukan Nvidia. (Gambar Reuters)
NEW YORK:
Pengeluar cip berpangkalan di Amerika Syarikat, Nvidia, menjadi syarikat paling bernilai di pasaran saham.

Nilai pasaran Nvidia melonjak kepada USD3.33 trilion, didorong permintaan tinggi teknologi kecerdasan buatan (AI) serta mengatasi gergasi perisian Microsoft.

Saham Nvidia meningkat 3.5% semalam, manakala saham Microsoft mengalami sedikit penurunan.

Cip Nvidia telah menjadi teknologi utama untuk masa depan AI. Cip ini sesuai bagi pengkomputeran, terutamanya dalam melatih perisian AI di pusat data.

Syarikat lain yang tersenarai di bursa dengan nilai pasaran melebihi USD3 trilion adalah Apple, dengan sahamnya melonjak minggu lalu selepas mengumumkan ciri-ciri AI baharu.

Sementara itu, Microsoft menggabungkan kecerdasan buatan ke dalam produknya melalui perkongsian bernilai berbilion dolar dengan OpenAI, pencipta chatbot ChatGPT.

Nvidia memanfaatkan trend ini dengan menjual beribu-ribu sistem cip mahal kepada Microsoft, Google, dan syarikat induk Facebook, Meta.

Kenaikan harga saham Nvidia berikutan pengumuman perkongsian dengan Hewlett Packard Enterprise untuk melaksanakan teknologi AI dalam perniagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.