ANC tubuh kerajaan perpaduan, kata presiden Ramaphosa

ANC tubuh kerajaan perpaduan, kata presiden Ramaphosa

ANC hilang dominasi selama tiga dekad dan sukar menubuhkan kerajaan bersendirian.

Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa umum pembentukan kerajaan perpaduan selepas hilang majoriti, pada pilihan raya nasional dan provinsi, pada 29 Mei. (Gambar AP)
JOHANNESBURG:
Parti pemerintah Afrika Selatan, African National Congress (ANC), bersetuju membentuk kerajaan perpaduan nasional selepas kehilangan majoriti pada pilihan raya minggu lalu, umum Presiden Cyril Ramaphosa.

“Kami telah bersetuju mengundang parti politik lain bagi membentuk kerajaan perpaduan nasional, pilihan terbaik untuk memajukan negara kita,” lapor Agensi Anadolu memetik Ramaphosa dalam sidang media selepas mesyuarat sepanjang hari Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan (NEC) parti itu, pada Khamis.

Beliau berkata, modaliti kerajaan perpaduan nasional akan mengambil kira keadaan semasa di negara itu.

“Tujuan utama kerajaan perpaduan nasional adalah untuk menangani isu-isu mendesak yang dihadapi rakyat Afrika Selatan. Isu-isu ini termasuk penciptaan pekerjaan, pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan kos hidup yang tinggi,” katanya.

Ramaphosa turut menyatakan kerajaan perpaduan akan memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan, jenayah, dan rasuah, yang merupakan isu utama dibangkitkan parti politik pada pilihan raya.

ANC, yang pernah dipimpin oleh ikon global Nelson Mandela, mendominasi politik Afrika Selatan selama tiga dekad sebelum kehilangan majoriti dalam pilihan raya nasional dan provinsi, pada 29 Mei.

Parti tersebut, yang pernah memperoleh lebih daripada 60% dalam semua pilihan raya sejak 1994, kecuali pada 2019 apabila bahagiannya menurun kepada 57.5%, hanya mendapat 40.18% undi kali ini. Ini meletakkannya dalam kedudukan sukar membentuk kerajaan secara bersendirian.

Ramaphosa berkata, partinya mengakui rakyat Afrika Selatan telah menyuarakan hasrat mereka dalam pilihan raya minggu lalu dan mereka menerima keputusan itu.

“Kami sekarang menyatakan sebagai Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan ANC bahawa kami telah mendengar kebimbangan rakyat Afrika Selatan, mendengar kekecewaan mereka dan mengenali aspirasi mereka,” katanya.

Beliau berkata, NEC bersetuju bahawa untuk negara berjaya mengatasi cabaran dihadapi, terdapat keperluan kerajaan perpaduan dan kerjasama antara parti politik.

“Daripada keputusan pilihan raya ini, jelas bahawa rakyat Afrika Selatan mengharapkan pemimpin mereka bekerjasama untuk memenuhi keperluan mereka. Mereka mengharapkan kami mencari titik persamaan untuk mengatasi perbezaan kami dan bertindak bersama untuk kebaikan semua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.