
Pesawat SQ321 sedang dalam penerbangan dari London ke Singapura pada Selasa lepas apabila ia menempuh gelora udara teruk menyebabkan pesawat itu dilencongkan ke Bangkok, Thailand.
Seorang penumpang meninggal dunia dan puluhan lagi cedera akibat insiden itu.
Siasatan kejadian itu masih berjalan, namun Kementerian Pengangkutan Singapura hari ini mengeluarkan penemuan siasatan awal oleh Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB).
Biro itu memperoleh data untuk siasatannya daripada perakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR) penerbangan tersebut.
Laporan awal mendapati SQ321 berlepas dari London pada 20 Mei dan penerbangan adalah normal sebelum berlakunya gelora udara.
Menurut laporan itu, pesawat berkenaan berada di ruang udara selatan Myanmar pada ketinggian 37,000 kaki (11,277m) dan kemungkinan terbang di atas kawasan yang sedang berlaku aktiviti perolakan pada jam 07:49:21 (UTC) 21 Mei.
Daya graviti turun naik antara +0.44G dan +1.57G selama kira-kira 19 saat, menyebabkan penerbangan mula mengalami sedikit gegaran.
“Pada jam 07:49:40, pesawat mengalami perubahan G yang mendadak apabila pecutan menegak yang direkodkan merosot dari +1.35G ke -1.5G dalam masa 0.6 saat. Ini kemungkinan menyebabkan penumpang yang tidak memakai tali pinggang keselamatan tercampak.
“Pada jam 07:49:41, pecutan menegak berubah dari -1.5G ke +1.5G dalam masa empat saat. Ini kemungkinan menyebabkan penumpang yang sebelum ini tercampak jatuh semula,” kata kementerian.
Laporan itu mendapati pesawat mengalami perubahan G yang cepat selama 4.6 saat, dengan penurunan altitud sebanyak 178 kaki (54.2m), dari 37,362 kaki (11,387m) ke 37,184 kaki (11,333m).
“Rangkaian peristiwa ini kemungkinan menyebabkan kecederaan kepada kru dan penumpang,” menurut laporan tersebut.
Sementara itu, SIA dalam kenyataan mengakui penemuan siasatan awal itu dan berkata pihaknya bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang sedang dijalankan berhubung kejadian itu.