Tragedi tanah runtuh, lebih 2,000 tertimbus di Papua New Guinea

Tragedi tanah runtuh, lebih 2,000 tertimbus di Papua New Guinea

Kejadian mengakibatkan kemusnahan besar kepada bangunan dan kebun tanaman sekali gus jejas nadi ekonomi negara itu.

Tragedi tanah runtuh di Papua New Guinea melibatkan lebih 2,000 tertimbus hidup-hidup. (Gambar AP)
SYDNEY:
Pusat Bencana Kebangsaan (NDC) Papua New Guinea mengesahkan lebih 2,000 orang tertimbus hidup-hidup selepas bencana tanah runtuh besar-besaran berlaku di Wilayah Enga, pada Jumaat.

Ketua Misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) di negara kepulauan Pasifik, Serhan Aktoprak memberitahu Xinhua bahawa agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan dikeluarkan pemangku pengarah pusat itu, Lusete Laso Mana bencana itu turut menyebabkan kemusnahan besar kepada bangunan dan kebun tanaman, selain memberi impak besar kepada nadi ekonomi negara itu.

“Lebuh raya utama ke Lombong Porgera sepenuhnya terhalang. Keadaan masih tidak stabil kerana tanah runtuh terus bergerak perlahan, menimbulkan bahaya berterusan kepada pasukan penyelamat dan mangsa yang terselamat,” kata Mana.

Pemangku pengarah itu juga menyatakan bahawa pasukan kerajaan bersama telah memeriksa kampung yang terjejas pada Ahad dan menyerahkan cek bernilai 500,000 kina (kira-kira USD128,796) kepada kerajaan wilayah Enga untuk menyediakan bantuan segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.