
Sumber tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan yang lain cedera selepas tentera Israel menyasarkan sekurang-kurangnya lapan peluru berpandu ke sebuah kem pemindahan baharu didirikan dekat gudang Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), di barat laut Rafah.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) melaporkan krunya mengangkut sejumlah mayat dan mangsa cedera selepas serangan tentera Israel ke atas khemah penduduk yang dipindahkan di Rafah.
PRCS memberi amaran hospital tidak mampu menangani jumlah besar mangsa akibat kemusnahan sistem kesihatan disengajakan oleh tentera Israel di Gaza, dengan beberapa mangsa dibawa ke pusat perubatan sementara.
PRCS mengesahkan individu dalam khemah, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, terbakar hidup-hidup.
Kawasan sasaran yang sesak dengan ribuan penduduk dipindahkan itu, sebelum ini diisytiharkan tentera Israel sebagai zon selamat.
Tentera Israel hari ini meneruskan serangannya ke atas Semenanjung Gaza, yang bermula 7 Okt 2023, membunuh 35,984 orang, majoriti kanak-kanak dan wanita serta mencederakan 80,643 lagi. Ribuan mangsa masih hilang di bawah runtuhan atau bertaburan di jalan raya.