Gelora udara pesawat SIA: 20 diberi rawatan rapi

Gelora udara pesawat SIA: 20 diberi rawatan rapi

Mereka terdiri daripada rakyat Australia, UK, Hong Kong, Malaysia, New Zealand, Singapura, dan Filipina.

Seramai 85 orang cedera akibat kejadian itu menerima rawatan di hospital di Bangkok. (Gambar AP)
BANGKOK:
Dua puluh orang menerima rawatan rapi di hospital sekitar Bangkok pada Rabu susulan gelora udara teruk yang mengakibatkan kematian seorang penumpang dan mencederakan lebih 100 lain dalam penerbangan dari London ke Singapura, kelmarin.

Penerbangan Singapore Airlines SQ321 mengalami gelora udara ekstrem yang mengejut di ruang udara Myanmar 10 jam selepas berlepas ke Singapura pada Selasa.

Seorang penumpang berkata beliau melihat beberapa orang melambung sehingga menyebabkan puluhan individu mengalami kecederaan di kepala.

Gambar dari dalam pesawat menunjukkan keadaan huru-hara dalam kabin dengan makanan, botol air dan beg bertaburan manakala topeng oksigen terjuntai dari siling.

Pesawat membawa 211 penumpang dan 18 anak kapal itu mendarat kecemasan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok, di mana kakitangan perubatan menggunakan pengusung untuk membawa mangsa cedera ke ambulans.

“Saya dilambung ke siling sebelum pesawat ‘jatuh’ menyebabkan saya juga terhempas ke lantai bersama barangan termasuk hidangan sarapan pagi dan perkakasan makan,” kata seorang penumpang dipetik media Australia sebaik tiba di Sydney.

“Kasihan anak kapal, mereka ketika itu sedang menyediakan hidangan sarapan untuk semua orang menyebabkan mereka paling teruk mengalami kecederaan.”

Seorang lelaki warga Britain berusia 73 maut manakala 104 cedera dalam kejadian itu.

Sebuah hospital di Bangkok berkata seramai 85 daripadanya dirawat di lokasi itu, termasuk 20 yang menerima rawatan rapi.

Dua puluh individu itu dari Australia, UK, Hong Kong, Malaysia, New Zealand, Singapura, dan Filipina, menurut kenyataan Hospital Samitivej tanpa menyatakan sama ada mereka penumpang atau anak kapal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.