DJ ‘sami’ dilarang buat persembahan di Singapura

DJ ‘sami’ dilarang buat persembahan di Singapura

NewJeansNim diberi kredit menghidupkan semula populariti agama Buddha dalam kalangan anak muda Korea Selatan.

NewJeansNim dijadualkan membuat persembahan di sebuah kelab malam di Singapura. (Gambar Reuters)
SINGAPURA:
Seorang DJ Korea Selatan yang tidak konvensional dan berpakaian seperti sami Buddha dilarang membuat persembahan di Singapura, kata menteri dalam negeri hari ini.

Youn Sung-ho yang lebih dikenali NewJeansNim ialah pelawak bertukar pemuzik.

Dia diberi kredit kerana menghidupkan semula populariti agama Buddha dalam kalangan anak muda Korea Selatan – walaupun persembahannya mendapat kecaman serantau.

Dia dijadualkan membuat persembahan di sebuah kelab malam di Singapura, yang mempunyai undang-undang ketat menyekat ucapan atau tindakan dilihat memudaratkan keharmonian agama.

“Polis memaklumkan pemilik kelab malam itu bahawa tindakan akan dikenakan jika persembahan diteruskan. Mereka memahami pendirian kami dan bersetuju bekerjasama,” kata K Shanmugam dalam catatan Facebooknya.

“Berita ini muncul pada Hari Wesak, satu kebetulan yang malang. Tetapi penganut Buddha (seperti masyarakat lain) tahu kerajaan akan mengambil tindakan tegas berhubung perkara begini,” katanya merujuk perayaan terpenting agama Buddha itu.

DJ itu membuat persembahan di Malaysia awal bulan ini, tetapi persembahan kedua di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur yang dijadualkan semalam dibatalkan susulan laporan polis difailkan atas persembahannya yang didakwa menghina agama Buddha.

Di Korea Selatan, dia mendapat sokongan peminat dan presiden aliran terbesar Buddha di negara itu, Jogye Order, yang menggesanya meneruskan kerana menganggap DJ sebagai kaedah untuk menarik pengikut baharu dan lebih muda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.