
TEHRAN: Kerajaan Iran mengadakan mesyuarat tergempar susulan penemuan bangkai helikopter membawa Presiden, Ebrahim Raisi di kawasan terpencil di barat laut Iran.
Naib Presiden, Mohammad Mokhber mengetuai mesyuarat tergempar Kabinet Iran pada pagi Isnin, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Helikopter yang membawa Raisi dan delegasi mengiringinya terhempas di hutan Dizmar, wilayah Azerbaijan Timur pada Ahad.
Pasukan mencari dan menyelamat menyusuri kawasan pergunungan dalam kabus tebal semalaman dan menemui bangkai pesawat itu awal pagi tadi.
Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai lain turut menaiki pesawat itu.